Tips Persediaan Peperiksaan Yang Ramai Tahu Tapi Malas Buat

Peperiksaan besar seperti UPSR, PT3, SPM, STPM dan STAM sudah pasti mencemaskan para calon. Tiada satu pelajar pun dapat lari daripada menduduki peperiksaan ini. Semua peperiksaan ini memerlukan persediaan yang rapi dari segala aspek tidak kira mental, fizikal, emosi juga rohani.

Namun, calon-calon semua terutama sekali calon SPM 2021 yang akan bermula pada February depan, tidak perlu merasa tertekan dan runsing kerana tips berikut dapat membantu anda menghadapi peperiksaan.

Tips Persediaan

1. Jaga kesihatan

Keadaan kesihatan yang buruk pasti akan mengganggu pelajar untuk fokus ketika melakukan ulangkaji. Calon juga diingatkan untuk tidak melakukan aktiviti fizikal yang akan meletihkan badan. Cukup sekadar bersenam selama 20 minit sebanyak 3 kali seminggu. Jika badan mula rasa tidak selesa, cepat-cepat berjumpa dengan doktor.

2. Tidur yang cukup

Untuk memastikan calon berasa segar dan bertenaga ketika menjawab peperiksaan, pastikan tidur sekitar 6-7 jam sehari. Tidur yang tidak mencukupi akan mengakibatkan rasa letih, mengantuk atau jatuh sakit. Elakkan bersengkang mata sehari sebelum peperiksaan kerana ditakuti pelajar akan ‘blank’ ketika menjawab peperiksaan.

3. Jaga pemakanan

Pelajar digalakkan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat yang mengandungi unsur seperti protein, karbohidrat dan serat. Pengambilan makanan seperti kekacang, bijiran, ikan dan sayur juga dapat menguatkan memori pelajar.

4. Banyakkan minum air

Minum air secukupnya. Kurangkan pengambilan minuman berkarbonat atau berkafein kerana pengambilan yang berlebihan akan memberi kesan kepada tumpuan calon semasa menjawab peperiksaan. Calon juga disarankan untuk membawa air yang mencukupi pada hari peperiksaan.

5. Berfikiran Positif

Elakkan diri dari situasi yang boleh ganggu perasaan. Tinggalkan sebentar perkara yang remeh dan tidak sepatutnya difikirkan. Tidak perlu bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi. Apa yang penting, jangan mengalah sebelum berjuang dalam peperiksaan.

6. Semak Jadual

Penting bagi calon peperiksaan untuk menyemak jadual peperiksaan bagi menentukan masa yang cukup untuk mengulangkaji, khususnya pada saat-saat akhir ini. Pastikan anda menyemak jadual peperiksaan dengan teliti supaya tidak tersalah tarikh dan subjek yang akan diduduki.

7. Berdoa dan Bertawakal

Akhir sekali, setelah anda berusaha dengan bersungguh-sungguh, berdoalah kepada Tuhan agar semuanya dipermudahkan untuk menjawab soalan peperiksaan. Selebihnya, berserah dan bertawakal kepada Tuhan agar mendapat keputusan yang cemerlang.

Kesimpulan

Diharapkan, dengan 7 tip persediaan menghadapi peperiksaan ini dapat membantu calon yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Team SifuTutor mengucapkan selamat menduduki peperiksaan bagi calon SPM di seluruh Malaysia pada Februari nanti. 

Bagi calon SPM 2021 yang merasakan diri memerlukan bantuan persediaan peperiksaan, bolehlah mencuba kaedah tuisyen peribadi 1-to-1.  Tutor pakar boleh membantu anda memperbaiki kelemahan dalam matapelajaran yang agak mencabar seperti subjek Matematik Tambahan, Sains, Fizik, Kimia dan lain-lain.