fbpx
apparatus in a lab

Skor A+ Subjek Kimia Dalam SPM Dengan Tips Ini

Subjek Kimia antara subjek yang digeruni pelajar sains tulen kerana dikatakan susah untuk skor A+ dalam peperiksaan SPM. Mungkin kerana terlalu banyak terma yang jarang didengari dan digunakan dalam kehidupan seharian membuatkan pelajar rasa susah nak hadam.

Senang sangat ke nak skor A+ subjek kimia ni?

Ada yang mengatakan subjek ini merupakan 50% peratus menghafal(memorization) dan 50% lagi memahami(understanding). Jadi, kami akan berkongsi beberapa tips untuk dapatkan keputusan cemerlang dalam subjek Kimia.

Jom kita mula!

1. Tanam rasa minat

beberapa pelajar sedang belajar berkumpulan di perpustakaan

Sebenarnya subjek ini seronok tapi seronok sahaja tidak cukup untuk mendapat gred yang baik. Minat perlu ada, barulah mudah untuk pelajar menguasai subjek Kimia ini. Malah, proses ulangkaji pelajaran akan menjadi kurang terbeban dan seterusnya mengurankan tekanan stres.

Macam mana nak tanam minat? Pada peringkat awal, mungkin anda rasa sedikit payah. Jika ada masa lapang, anda boleh cuba menulis nota, menonton video eksperimen mengenai topik kimia di Youtube dan sentiasa libatkan diri dalam kerja amali di makmal. Dengan sedikit tekanan positif dan disiplin diri, lama-kelamaan minat itu akan timbul.

2. Buat latih tubi Kertas 1

koleksi bank soalan peperiksaan spm subjek kimia

Jika tidak tahu nak mula dari mana, mulakan dengan latih tubi Kertas 1. Anda boleh mencari koleksi set soalan percubaan negeri-negeri atau soalan SPM tahun-tahun sebelumnya. Disiplinkan diri untuk menjawab soalan mengikut masa yang ditetapkan.

Mulakan menjawab soalan yang mudah dahulu diikuti soalan yang susah. Kemudian, semak jawapan dan kenal pasti topik mana yang perlu ditekankan dalam ulangkaji. Sebaik-baiknya, cuba dapatkan 40 markah bagi Kertas 1 ini.

3. Buat latihan Kertas 2

Kertas ini terdiri daripada Bahagian A yang mengandungi soalan struktur yang mengfokuskan kepada aplikasi dan analisis. Antara kesilapan yang sering dilakukan pelajar adalah :

  • Menyalin semula soalan
  • Tidak memahami kehendak soalan
  • Menggunakan unit yang salah

Manakala Bahagian B dan C pula mengandungi soalan esei dimana pelajar perlu pilih satu daripada dua soalan di kedua-dua bahagian. Di bahagian ini, ramai pelajar kehilangan markah kerana :

  • Jawapan tiada isi
  • Isi terlalu sedikit
  • Tiada gambar rajah atau tidak lengkap

Sebab itu pentingnya membuat latih tubi. Semakin banyak latihan yang dilakukan, anda akan semakin mahir dalam memahami konsep dan kehendak soalan.

4. Teknik membaca

Teknik membaca mempengaruhi pemahaman pelajar untuk subjek ini. Anda perlu memperuntukkan masa yang banyak untuk membaca sambil memahami setiap topik memandangkan kandungan saintifik yang padat, konsep yang sukar, pelbagai formula, graf dan macam-macam lagi yang harus diingat.

Sebagai contoh, pelajar hanya memerlukan 10 minit untuk menguasai 5 muka surat buku teks Sejarah, manakala berbeza dengan subjek Kimia dimana ia mungkin akan mengambil masa sehingga 50 minit untuk menghabiskan 5 muka surat.

5. Tulis nota

nota ringkas subjek kimia

Walaupun subjek Kimia memerlukan pembacaan yang banyak, anda tidak boleh membacanya seperti membaca novel. Bacaan seperti novel hanya akan membuat anda tertekan dan rasa ingin putus asa.

Sebaiknya, tulis nota ringkas dan padat sambil anda membaca. Gunakan pen berwarna atau highlighter supaya nota tak kelihatan bosan ketika ulangkaji nanti. Selain itu, kenal pasti dan senaraikan bahagian mana yang anda tidak faham supaya anda boleh bertanya kepada guru atau rakan-rakan. Cuba dapatkan bantuan yang secepat mungkin untuk bahagian bermasalah tadi dan jangan kumpul sehingga soalan terlalu banyak, nanti anda rasa tertekan untuk memahami konsep setiap bahagian.

6. Belajar berkumpulan

beberapa pelajar sedang belajar berkumpulan di perpustakaan

Elakkan berkumpulan dengan pelajar yang tidak serius dan banyak bermain daripada belajar. Cari rakan-rakan yang boleh bimbing dan berbincang dengan anda. Ramai pelajar mendapati bahawa kaedah belajar berkumpulan sedikit sebanyak membantu mereka memahami konsep dalam subjek yang mencabar ini.

Selain itu, anda dan rakan-rakan boleh sama-sama mebuat analisa soalan SPM tahun-tahun sebelumnya untuk kenalpasti topik yang kerap ditanya. Sekiranya anda mempunyai masalah untuk belajar secara berkumpulan, eloklah dapatkan bantuan dan bimbingan secara 1-to-1 dari tutor peribadi di sini.

Kesimpulan

Jadi, jangan berlengah-lengah. Tidak kira selewat mana anda bermula, yang penting anda mulakan dan pecutlah sampai ke penghujung. Persediaan yang awal pasti akan membuahkan hasil yang cemerlang untuk subjek Kimia ini. Jangan sesekali bandingkan diri anda dengan orang lain kerana setiap pelajar mempunyai kapasiti dan kelebihan masing-masing.