cikgu gembira mengajar di kelas online

PdPR – Cara Tarik Minat Pelajar Di Waktu Pandemik Covid-19

Tahun ini merupakan tahun kedua guru menggunakan pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Pengalaman mengharungi 2020 banyak menguji semangat warga pendidik untuk terus memberikan ilmu kepada anak bangsa.

Malahan, pendekatan PdPR ini juga agak mencabar untuk pelajar memberi perhatian penuh walaupun guru berada di depan secara maya. Ini kerana masing-masing berada di rumah dan ada dalam kalangan pelajar yang masih kekok dengan proses pembelajaran di hadapan skrin monitor.

Bukan mudah untuk guru-guru mengajar ketika dalam keadaan pandemik begini. Jadi, perlu ada taktik untuk menjadikan sesi pembelajaran ini lebih menarik dan efektif.

1. Tingkatkan interaksi dengan Murid

murid aktif dalam kelas atas talian

Sebuah kajian menunjukkan bahawa hasrat hati manusia ingin menjadi sebahagian daripada sesebuah kumpulan. Memandangkan murid dan guru dipisahkan oleh jarak, jadi interaksi antara kedua-dua pihak menjadi sangat penting. Sebagai contoh, warm up kelas dengan bertanyakan khabar mereka. Ini akan membuat mereka merasa lebih selesa dan kurang kekok dalam kelas online. 

Dalam masa yang sama, guru boleh memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan murid dengan mengingatkan mereka untuk menyalakan kamera agar kekal fokus dan terhindar dari godaan atau gangguan yang kerap muncul apabila belajar dari rumah.

2. Kawal Emosi

guru kawal emosi dalam kelas atas talian

Sebagai guru, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk sentiasa berusaha mewujudkan situasi yang ceria ketika melaksanakan proses pembelajaran. Secara tidak langsung, situasi yang ceria akan mempengaruhi minat murid dalam aktiviti pembelajaran dan mengelakkan perasaan tertekan. 

Namun, tidak dinafikan bahawa pengajaran dan pembelajaran atas talian membuatkan guru dan murid berasa tertekan lebih-lebih lagi apabila berlakunya gangguan teknikal dan sebagainya. Oleh itu guru harus kreatif dalam mencari kaedah pembelajaran yang menarik.

3. Memberi masa untuk murid yang tertinggal

ibu bapa mengambil modul pelajaran melalui pandu lalu di sekolah

Sumber gambar : PPDKK

Umum mengetahui tidak semua pelajar memiliki kemampuan yang sama dalam menyerap ilmu. Disamping itu, ada juga pelajar dari keluarga yang tidak berkemampuan perlu berkongsi gajet untuk menjalani kelas atas talian dan ada juga yang mempunyai akses internet yang terhad. Guru haruslah memainkan peranan dan memahami situasi semua pelajar. Banyak kaedah yang boleh dilaksanakan oleh guru untuk memastikan penglibatan semua murid dalam pembelajaran, antaranya :

  • Murid boleh menghantar gambar kerja sekolah melalui aplikasi telefon
  • Membuat dan memuatnaik kerja sekolah melalui Google Classroom
  • Memberi latihan dalam buku teks
  • Menyerahkan bahan PdP untuk ibu bapa ambil di sekolah

4. Beri Pujian kepada murid

murid gembira dipuji

Pujian didapati boleh memberikan kesan positif kepada akademik dan tingkah laku sosial kanak-kanak. Pujian boleh diberikan kepada seorang mahupun seluruh kelas. Gunakan ayat seperti :

  • Bagus!
  • Walaupun tak dapat belajar bersemuka, awak semua cekap dan cepat faham.
  • Hebatnya! Ini lah kelebihan bila kita fokus dalam pelajaran.
  • Cikgu bangga dengan kelas ini, semoga boleh teruskan lagi pencapaian.

Bayangkan perasaan murid-murid apabila mereka mendengar kata-kata pujian seperti diatas. Kaedah ini akan meningkatkan motivasi pelajar untuk cemerlang dan seterusnya melahirkan perilaku yang positif. Walaubagaimanapun, pujian yang diberi haruslah pujian yang berkualiti dan tidak melebih-lebih.

5. Mengadakan kuiz interaktif

kuiz interaktif kelas online

Kuiz interaktif secara real-time didapati berkesan dalam merperkasakan pembelajaran atas talian serta dapat memberi petunjuk kepada guru untuk mentaksir samada murid-murid memahami apa yang dipelajari.

Ramai guru meluahkan masalah yang dihadapi ketika kelas atas talian dimana pelajar tidak memberikan respon yang baik walaupun soalan yang ditanya adalah mudah. Apatah lagi menunggu pelajar untuk bertanya. Oleh itu, guru boleh mendorong mereka untuk terlibat dalam kelas yang sedang berlangsung melalui real-time quiz.

Kesimpulan

Berdasarkan tips diatas, boleh disimpulkan bahawa kejayaan guru menembusi dunia pelajar dapat menghasilkan pengalaman pembelajaran yang berkesan dan mencipta hubungan baik antara guru dan pelajar. Namun, setiap pihak perlu akur bahawa impak PdPR tidak akan sama dengan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah memandangkan PdPR adalah sokongan kepada proses pembelajaran bersemuka yang tidak dapat dilaksanakan kerana sekolah ditutup akibat COVID-19 (Sumber : Bernama).

Jadi, tenaga pengajar haruslah sentiasa mencari metod atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian untuk menarik minat pelajar di kala pandemik ini. Untuk ibu bapa yang mendapati anaknya lemah dalam pelajaran dan tidak dapat mengikuti kelas di atas talian dengan baik, eloklah dapatkan bantuan home tuition secara 1-to-1 untuk anak anda agar tidak terus ketinggalan.