Cara Mengatasi Masalah Kerja Berkumpulan

Siapa yang tak pernah menghadapi masalah apabila melakukan kerja berkumpulan? Boleh dikatakan semua orang pernah mengalaminya khususnya para pelajar sekolah menengah, pelajar universiti dan perkerja. Kerja berkumpulan sepatutnya memudahkan tetapi bila wujudnya ahli kumpulan yang bermasalah, percanggahan idea atau kekangan masa, situasi akan bertambah mencabar dan mendatangkan stress kepada ahli yang lain.

Setiap cabaran atau masalah mesti mempunyai jalan penyelesaian. Jadi, berikut adalah apa yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah dalam kerja berkumpulan dan menyiapkan tugasan yang diberikan dengan jayanya.

1. Lantik Ketua

Ketua kumpulan berperanan untuk menggerakkan ahli kumpulan dalam menyelesaikan tugasan yang diberi selain membuat pelan tindakan dan anggaran masa yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan bagi setiap ahli kumpulan.

Seterusnya, ketua bertanggungjawab untuk mengumpulkan semua tugasan dari setiap ahli kumpulan dan berhubung dengan pensyarah sekiranya menghadapi sebarang masalah.

2. Membahagikan Tugasan

Kenal pasti maklumat tugasan dengan jelas. Pastikan semua ahli mendapat peratusan tugasan yang adil untuk mengelakkan perasaan tidak puas hati dan konflik.

Selain itu, periksa format yang dikehendaki oleh guru atau pensyarah. Untuk menjadikan tugasan ini lebih menarik dan rasa tidak terbeban, padankan kelebihan atau skil setiap ahli kumpulan dengan tugasan yang diberi. Contohnya, si A mempunyai skil dalam menghasilkan video, si B hebat dalam menyusun atur dan menghias slideshow manakala si B berkebolehan dalam dokumentasi.

Walau apa pun, keputusan pembahagian ini haruslah mencapai persetujuan semua ahli.

3. Komunikasi

Terdapat pelbagai medium teknologi yang telah wujud untuk memudahkan proses komunikasi secara berkumpulan. Antara yang paling mudah, ketua kumpulan boleh mencipta ‘group chat’ di aplikasi WhatsApp, Slack, Microsoft Team dan sebagainya.

Melalui medium ini, semua ahli boleh berinteraksi atau berbincang dan memaklumkan progres tugasan masing-masing. Jika ada ahli yang tidak menyiapkan tugasannya, cuba berbincang sesama ahli dan kenalpasti apa yang menghalang keupayaannya untuk menghantar tugasan tersebut. Kuncinya, komunikasi dengan jujur dan hormat.

4. Bina Kepercayaan

Kepercayaan adalah elemen penting dalam tugasan berkumpulan. Apa itu kepercayaan? Kepercayaan bermakna kita bergantung kepada orang lain untuk melakukan sesuatu benda dengan betul. Tanpa kepercayaan, tugasan yang dihasilkan akan menjadi tidak memuaskan kerana kurangnya kerjasama, idea, produktiviti yang rendah dan setiap ahli hanya bersifat ‘play safe’.

Dengan mempercayai antara satu sama lain, sesebuah kumpulan akan menjadi lebih kuat dan capai potensi yang lebih besar. Bak kata pepatah, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Bagaimana nak bina kepercayaan?

  1. Bermula dengan diri sendiri . Tunjuk bahawa kita percayakan orang lain, baru lah orang lain akan mempercayai kita. 
  2. Setiap ahli perlu berkomunikasi dengan terbuka dan jujur.
  3. Kenal setiap ahli dengan lebih rapat. Boleh mula dengan bertanyakan tentang minat masing-masing, luangkan masa bersama kumpulan dan sebagainya.

Kesimpulan

Memang tidak dinafikan bahawa tugasan berkumpulan mempunyai banyak cabaran. Tapi dengan cara yang betul,sesebuah kumpulan akan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Setelah tugasan berkumpulan diselesaikan, jangan lupa berterima kasih dan bermaafan sesama ahli. Akhir sekali, cuba refleksi diri masing-masing agar tugasan berkumpulan yang akan datang dapat diselesaikan dengan lebih baik.