40 Peribahasa & maksud yang boleh digunakan dalam karangan

Maksud Peribahasa

Mengikut definisi Dewan Bahasa Dan Pustaka, peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang tetap susunannya dan membawa maksud tertentu atau tersirat.

Peribahasa sangat membantu murid-murid untuk menambah markah dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Seeloknya, setiap isi karangan harus mempunyai satu peribahasa untuk menyokong penulisan. Berikut merupakan 50 contoh peribahasa yang pelajar boleh gunakan didalam karangan mengikut tema soalan.

Peribahasa tentang kasih sayang atau perhubungan

peribahasa tentang kasih sayang dan perhubungan

1. Bagai pinang dibelah dua
Pasangan yang amat sesuai.

2. Bagai isi dengan kuku
Hubungan yang begitu erat sekali.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Sama-sama menanggung susah dan senang atau bersepakat dalam mengerjakan sesuatu.

4. Air dicincang tak akan putus
Perbalahan antara adik-beradik tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berbaik semula.

5. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Baik buruk ibu bapa sedikit sebanyak akan diikuti oleh anaknya.

Peribahasa tentang masyarakat, negara atau semangat patriotisme

peribahasa tentang patriotisme dan masyarakat malaysia yang berbilang kaum

1. Bahasa jiwa bangsa
Setiap tutur kata yang disebut atau tingkah laku yang dilakukan melambangkan asal usul seseorang itu.

2. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri
Sebaik mana pun keadaan di tempat lain, tinggal di tempat sendiri juga yang lebih selesa dan menyenangkan.

3. Kalah menjadi abu, menang menjadi arang
Kalah atau menang dalam satu pertelingkahan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

4. Seperti burung gagak pulang ke benua
Walaupun telah merantau ke tempat asing, keadaan seseorang itu tetap masih sama seperti sebelum merantau.

5. Bagai aur dengan tebing
Perhubungan yang akrab atau masyarakat yang hidup saling tolong-menolong antara satu sama lain.

Peribahasa tentang penyesalan

1. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
Fikir dahulu bak dan buruk sebelum melakukan sesuatu perkara agar tidak menyesal.

2. Nasi sudah menjadi bubur
Perkara yang sudah pun terjadi dan tidak berguna untuk disesalkan lagi.

3. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
Sekiranya telah melakukan sesuatu kesalahan, sebaiknya insaf dengan segera.

4. Sudah terhantuk, baru tengadah
Setelah menghadapi kesusahan, baru hendak beringat-ingat.

5. Sekali jalan kena, dua kali jalan tahu
Setelah membuat silap pertama kali, seseorang itu akan sentiasa beringat agar kesilapan itu tidak berulang.

Peribahasa tentang berhati-hati

1. Sediakan payung sebelum hujan
Bersiap sedia sebelum menghadapi kesusahan.

2. Menarik rambut dalam tepung
Melakukan sesuatu pekerjaan dengan berhati-hati.

3. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya
Orang yang kelihatan seperti pendiam jangan disangka tidak berbahaya.

4. Berkata siang melihat-lihat, berkata malam mendengar-dengar
Berhati-hati jika hendak berbual tentang sesuatu perkara.

5. Biar lambat asalkan selamat
Lakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh kesabaran demi kebaikan.

Peribahasa tentang ilmu

peribahasa tentang ilmu

1. Belakang pedang pun jika diasah akan menjadi tajam
Orang yang kurang cerdik, jika diajar secara konsisten dan sabar, akhirnya akan pandai juga.

2. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
Seseorang haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.

3. Bagai katak dibawah tempurung
Orang yang kurang ilmu dan tidak peka dengan hal yang terjadi di sekelilingnya

4. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Kejayaan tidak akan datang bergolek jika tiada usaha.

5. Hanya jauhari mengenal manikam
Hanya orang arif atau pakar sahaja yang pandai menilau tentang sesuatu perkara.

Peribahasa tentang seseorang

1. Jauh di mata, dekat di hati
Walaupun jarak antara dua orang itu jauh, tetapi dihati tetap dikenang selalu.

2. Seperti api di dalam sekam
Perlakuan jahat yang dilakukan secara sembunyi.

3. Bagai beruk mendapat bunga
Orang yang tidak menghargai atau tidak tahu menggunakan sesuatu barang yang diberikan kepadanya.

4. Seperti cacing kepanasan
Orang yang gelisah dan tidak tenang.

5. Bagai duri dalam daging
Kehadiran sesuatu atau seseorang yang amat tidak menyenangkan.

Peribahasa tentang warga tua

peribahasa tentang warga emas atau warga tua

1. Yang muda disayangi, yang tua dihormati
Kita haruslah menghormati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar berlakang.

2. Banyak makan garam
Orang yang mempunyai pengalaman yang banyak.

3. Kacang lupakan kulit
Orang yang lupakan asal usulnya atau tidak mengenang jasa orang lain terhadapnya.

4. Air susu dibalas dengan air tuba
Orang yang membuat kebaikan dibalas dengan kejahatan.

5. Melukut di tepi gantang
Orang yang merasakan dirinya tidak penting.

Peribahasa tentang mendidik anak-anak

peribahasa tentang mendidik anak

1. Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Mendisiplinkan anak-anak haruslah bermula sejak mereka kecil lagi.

2. Anak-anak ibarat kain putih
Segala perlakuan anak-anak dibentuk oleh ibu bapanya.

3. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya
Sifat atau perangai anak-anak yang sama seperti ibu bapanya.

4. Bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul
Orang yang sering memberi nasihat kepada orang lain tetapi diri sendiri tidak melakukan apa yang dinasihatkannya.

5. Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak
Setiap manusia tidak sempurna, masing masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Dapatkan khidmat home tutor secara 1-on-1 bagi matapelajaran Bahasa Melayu dari SifuTutor yang mempunyai barisan pengajar yang berkelayakan dan berpengalaman untuk mengajar anak anda.

Bukan itu sahaja, mereka akan diajar mengikut tahap kesesuaian mereka dengan jadual kelas yang fleksibel.